Isnin, 31 Disember 2012

ENJAK WAKTU

Saban hari...waktu berputar..beredar dan berlalu.. Bilah-bilah hari yang berganti terasa begitu pantas. Tahun 2012 sudah tiba ke penghujungnya. Dalam masa beberapa jam lagi, kita bakal menjengah ke tahun baru.

Sepanjang 2012, banyak kenangan dan peristiwa yang berlaku. Berkumpul dan bercuti bersama keluarga tercinta dan juga keluar berhibur bersama teman-teman. Biarpun saban hari hati ini menganyam rindu, tetapi hidup ini perlu diteruskan. Senyuman perlu diukirkan dan wajah perlu diceriakan. Biarpun ada yang salah membuat tanggapan, aku hidup hanya sekadar untuk bersenang-senang, tiada masa depan dan tak pernah memikirkan erti kesengsaraan. Kalian salah membuat tafsiran duhai teman. Hidup aku adalah sebuah perjuangan, punya matlamat untuk direalisasikan. Hidup aku penuh bunga-bunga angan dan impian...punya cita-cita dan perancangan. Mungkin  kalian tidak tahu..setiap tahun, azam-azamku tercapai. Lihat...aku bukan hidup dengan tangan kosong, sepak kertas sana sini. Kehidupanku penuh pengertian dan pengisian. Dan detik ini, aku sedang membina kolong-kolong azam tahun baru untuk dipenuhkan sebelum tahun  2013 melabuhkan tirainya pada Disember tahun hadapan.
 
Enjak waktu terasa laju. Maka aku harus mencerna idea dangan lebih laju, agar artikel bongsu di tahun 2012 ini berjaya dimuatkan ke dalam blog kesayanganku sebelum tahun baru mengusir tahun lama. Ya..kenangan di tahun ini...pasti menjadi kenangan yang terindah...yang teristimewa untuk dikenang. Apa yang aku hajati telah aku temui. Kenangan bekerja berpasukan bersama group teater Bakawalee terlalu indah untuk dikenang. Persahabatan ibarat sebuah persaudaraan. Hasilnya, pementasan teater Cumbuan Dosa Semalam berjaya dipentaskan selama empat hari berturut-turut. Inilah lakonan pertamaku. Biarpun getar debar berkecamuk di dalam dada ketika itu, aku cuba selambakan di hadapan penonton. Andai cela persembahanku, maafkan aku.
 
Ya...nampaknya tahun 2012 tetap akan pergi meninggalkan kita. Tidak terhalang dan takkan mampu ditahan. Hati terpaksa merelakan, jiwa terpaksa menyiakan. Patah tumbuh hilang berganti. Moga-moga, tahun baru bakal memberikan sinar baru. Yang pastinya...tahun hadapan bakal memberikan aku sebuah kehidupan baru. Bergelar insan baru, menggalas tanggungjawab baru di samping insan yang bakal mengajar aku meniti gerbang kehidupan yang baru. Insyaallah...semuanya dengan izin Allah.
 
Sekian...selamat tahun baru Malaysia!!!
 
 
~Mieya Kasih~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan