Selasa, 31 Disember 2013

2013 - - - ->> 2014

Assalamualaikum...

Malam ini nampaknya tidak sepi seperti malam-malam sebelumnya. Pasti ramai anak muda sedang bergembira di luar sana. Sayup-sayup kedengaran letupan bunga api yang berdentum. Ini malam tahun baru. Malam penamat dan malam permulaan.

Tahun 2013, tahun yang penuh dengan dugaan, namun banyak jua cerita indah yang terukir. Tahun 2014 bakal menjelma beberapa detik sahaja lagi. Moga yang indah belaka bakal menyusul bersama angka baru ini. Semoga dengan kehadiran tahun yang baru ini, ada rahmat dan rezeki yang tak terduga di sebaliknya. Azam seiring impian, moga kesampaian. Amin.

Nah, sudah tepat 12 malam. Letupan bunga api bergema tanpa henti. Dari jendela rumah, sudah terasa kemeriahannya. Malam ini, Kuala Lumpur dihujani warna-warni bunga api di sana sini. Selamat datang tahun baru. Setahun yang panjang sedang bermula!





~Mieya Kasih 2013-2014~


Rabu, 25 Disember 2013

Aku Memilih Hatimu.

Assalamualaikum wbt...

Disember bulan bongsu, tidak lama lagi akan meninggalkan kita.
2013, tahun yang banyak ceritanya.
Penantian yang panjang, menjelma menjadi nyata. Syukur alhamdulillah.

Kembali menatap anugerah yang diberikan Illahi, mengimbas nikmat Yang Maha Pengasih dan mengenang apa yang telah aku miliki hingga ke saat ini.  

Memilih seorang insan untuk dijadikan pasangan hidup adalah keputusan yang besar di dalam hidupku. Banyak hal yang perlu dipertimbangkan. Keserasian dalam mencambahkah buah fikiran, persefahaman dalam komunikasi, perkongsian pendapat yang tidak jauh bertentangan, minat dan citarasa dan banyak lagi. Memang nampak remeh tetapi sebenarnya semua itu penting untuk sama-sama membina kehidupan yang panjang. Biarlah selepas ijab dan kabul, hati tetap tenang kerana kita sudah mengenali siapa pasangan kita. 

Ya, begitulah yang aku rasakan sekarang. Ternyata, tidak salah aku memilih pemilik hati itu untuk kekal bertakhta di hatiku. Menyerahkan hak untuk pemilik hati itu menentukan arah mana untuk aku terus melangkah. Mengangkat darjatnya sama seperti kuasa seorang ayah memberikan keizinan atau melarang tindak tanduk anak gadisnya. Masih terbayang di suatu pagi yang indah, detik-detik berharga saat dua insan duduk bertentangan, tangan saling bergenggam erat dan melafazkan kata keramat. Hati ini jadi gundah gulana tak keruan. Seorang ayah telah menyerahkan puterinya kepada lelaki budiman secara halal. Sah!

Melewati takah ini, memang sudah lama aku dambakan. Tetapi dalam masa yang sama, hati menjerit sayu. Biarlah kalau orang nak cakap aku anak manja, memang aku sayangkan keluarga aku. Mereka dunia aku, senyuman aku dan diri ini adalah sebahagian dari mereka. Tapi aku percaya, kebahagiaan aku adalah kebahagiaan juga buat mereka.

Seperti yang aku katakan tadi, memang ternyata tidak salah aku memilih pemilik hati itu untuk kekal bertakhta di hatiku. Kerana dia adalah insan yang memahamiku sebagai wanita lemah yang mudah melatah kala dugaan menerpa. Wanita lemah yang kadangkala celaru mengharungi liku-liku percaturan kehidupan. Memahami sahaja tidak cukup kalau tidak disertakan dengan sokongan dan dorongan. Kala aku buntu, insan ini tidak jemu menghulurkan cahaya agar hati ini kembali tenang. Hadir dengan pena harapan agar senyuman ini kembali terukir. Syukur alhamdulillah.





~Mieya Kasih 2013~