Isnin, 31 Disember 2012

ENJAK WAKTU

Saban hari...waktu berputar..beredar dan berlalu.. Bilah-bilah hari yang berganti terasa begitu pantas. Tahun 2012 sudah tiba ke penghujungnya. Dalam masa beberapa jam lagi, kita bakal menjengah ke tahun baru.

Sepanjang 2012, banyak kenangan dan peristiwa yang berlaku. Berkumpul dan bercuti bersama keluarga tercinta dan juga keluar berhibur bersama teman-teman. Biarpun saban hari hati ini menganyam rindu, tetapi hidup ini perlu diteruskan. Senyuman perlu diukirkan dan wajah perlu diceriakan. Biarpun ada yang salah membuat tanggapan, aku hidup hanya sekadar untuk bersenang-senang, tiada masa depan dan tak pernah memikirkan erti kesengsaraan. Kalian salah membuat tafsiran duhai teman. Hidup aku adalah sebuah perjuangan, punya matlamat untuk direalisasikan. Hidup aku penuh bunga-bunga angan dan impian...punya cita-cita dan perancangan. Mungkin  kalian tidak tahu..setiap tahun, azam-azamku tercapai. Lihat...aku bukan hidup dengan tangan kosong, sepak kertas sana sini. Kehidupanku penuh pengertian dan pengisian. Dan detik ini, aku sedang membina kolong-kolong azam tahun baru untuk dipenuhkan sebelum tahun  2013 melabuhkan tirainya pada Disember tahun hadapan.
 
Enjak waktu terasa laju. Maka aku harus mencerna idea dangan lebih laju, agar artikel bongsu di tahun 2012 ini berjaya dimuatkan ke dalam blog kesayanganku sebelum tahun baru mengusir tahun lama. Ya..kenangan di tahun ini...pasti menjadi kenangan yang terindah...yang teristimewa untuk dikenang. Apa yang aku hajati telah aku temui. Kenangan bekerja berpasukan bersama group teater Bakawalee terlalu indah untuk dikenang. Persahabatan ibarat sebuah persaudaraan. Hasilnya, pementasan teater Cumbuan Dosa Semalam berjaya dipentaskan selama empat hari berturut-turut. Inilah lakonan pertamaku. Biarpun getar debar berkecamuk di dalam dada ketika itu, aku cuba selambakan di hadapan penonton. Andai cela persembahanku, maafkan aku.
 
Ya...nampaknya tahun 2012 tetap akan pergi meninggalkan kita. Tidak terhalang dan takkan mampu ditahan. Hati terpaksa merelakan, jiwa terpaksa menyiakan. Patah tumbuh hilang berganti. Moga-moga, tahun baru bakal memberikan sinar baru. Yang pastinya...tahun hadapan bakal memberikan aku sebuah kehidupan baru. Bergelar insan baru, menggalas tanggungjawab baru di samping insan yang bakal mengajar aku meniti gerbang kehidupan yang baru. Insyaallah...semuanya dengan izin Allah.
 
Sekian...selamat tahun baru Malaysia!!!
 
 
~Mieya Kasih~

Sabtu, 15 Disember 2012

Bila Si Dia Mahukannya...

                                                
  
Buah hati aku...sayang cinta aku dah tamat belajar pada awal Disember. Alhamdulillah...aku harap dia dapat keputusan yang cemerlang. Buah hati aku bakal masuk kerja pada 17 Disember. Semoga rezekinya bertambah dan semoga dia dapat bekerja dengan baik.

Suatu hari, aku berbual di telefon dengan buah hati aku. Lepas tu...dia buat satu permintaan. Katanya, aku mesti call dia setiap hari, pukul 6 pagi, untuk kejutkan dia pergi kerja. Hhhmmmm....dia mahukan begitu. Kenapa ya?
 
Baiklah...kalau itu yang dia mahu, aku turutkan saja. Kan aku sayang dia. Tak mengapalah, sekurang-kurangnya, sebelum pergi kerja dia mesti dengar suara aku dulu. Tak banyak, sikit pun dia mesti teringatkan aku di tempat kerja. Kan bagus macam tu.. Nak bermanja sebelum ke tempat kerja ek? He he hee...
 
Sudah enam tahun kami bercinta. Cinta jarak jauh. Jarang berjumpa...jarang keluar bersama. Syukurlah, hubungan kami kekal sampai ke hari ini. Harapan aku, biarlah suatu waktu nanti, akan ada ikatan di antara kami. Dan biarlah jalinan kasih kami berkekalan buat selama-lamanya. Amin.
 
Mieya Kasih

Jumaat, 14 Disember 2012

Undangan Tak Terduga

Suatu hari, aku membuka notebook seperti biasa. Semestinya aku buka facebook dulu. Baca tu...baca ni...main game... Belek punya belek, aku sedar yang ada undangan untuk aku, dan semestinya ini bukan undangan kenduri kahwin yang kadang-kadang aku sendiri tak kenal siapa pengantinnya.
 
Ya...undangan sebeginilah yang aku nanti-nantikan selama ini. Undangan untuk menghadiri ujibakat teater. Yes!!! Aku rasa nak melompat sampai ke langit ketika tu. Hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan aku. Andai masa bisa diputar, masa tu juga aku nak lajukan masa supaya terus sampai ke tarikh ujibakat yang dinyatakan. Tak sabar...tak sabar...tak sabarrr....!!!!
 
 Dalam sabar tak sabar tu...aku tak duduk saja. Sebab aku memang dah tak boleh duduk diam. Kalau boleh masa tu juga aku nak pegang skrip. Tangan aku dah gatal. Okey...bertenang...bertenang. Aku buka google. Aku nak tahu lebih lanjut menngenai tajuk dan jalan cerita teater yang dinyatakan. 'Cumbuan Dosa Semalam', aku taip kat google. Aku cari, aku baca semua artikel yang berkaitan. Kemudian baru aku faham, cumbuan yang dimaksudkan bukanlah cumbuan sebenar. Ianya ibarat gambaran terhadap dosa-dosa yang pernah dilakukan, ibarat imbauan atau sapaan dosa-dosa semalam.
 
Cumbuan Dosa Semalam merupakan gabungan empat cerita pendek yang disatukan dalam sebuah teater, sebuah pementasan. Sedikit sebanyak, aku dah tahu mengenai teater ini, sebelum aku menghadiri ujibakat. Sekurang-kurangnya, kalau kat dalam bilik ujibakat nanti, diorang tanya, apa yang anda tahu tentang cerita Cumbuan Dosa Semalam, aku dah boleh petik jari, dah boleh jawab soalan tu senafas jer..chewah!
 
Setiap hari, aku membilang detik dan waktu. Kadang-kadang tengok handphone, kadang-kadang tengok kalendar, kadang-kadang buka facebook dan baca balik undangan tu. Aku takut terlepas, takut terlupa nak pergi dan bila sedar semuanya dah terlambat. Tidak, tidak! Aku kena check tarikh betul-betul, tengok kalendar betul-betul. Jangan silap hari, jangan terlepas. Peluang sebegini aku takkan lepaskan. Orang selalu cakap, peluang hanya datang sekali. Kalau peluang ini cuma sekali, aku takkan lepaskan.
 
Insyaallah.
 
Mieya Kasih
 

























 
 
 
 

Khamis, 13 Disember 2012

Di Sini Bermula...

Aku memang minat seni. Dah lama aku minat seni...rasanya dari kecik kot.. Sebab kecik2 dulu, aku suka baca sajak sorang2 kat rumah. Kadang-kadang baca pantun...syair. Sampaikan abang aku tegur...bising la, apa la. Nasib baik mak aku cakap,
"Xpe la..kalau dia minat camtu, kalau dah itu kebolehan dia, biarla..." Minat? Hehe...time tu baru aku sedar yang ini memang minat aku. Terima kasih mak...

Bila usia aku dua belas tahun, aku cuba-cuba tulis sajak sendiri. Ada masa terluang je, aku tulis sajak. Sikap aku ni berlarutan sampailah ke bangku sekolah menengah. Kali ni lagi teruk, asal cikgu xde dalam kelas je, aku tulis sajak. Kadang-kadang tu cerpen, kadang-kadang novel. Nasib baik, kawan-kawan aku masa tu suka baca karya-karya aku. Malah, diorang beri sokongan. Terima kasih sahabatku... Dan terima kasih juga buat cikgu-cikgu yang pernah memberi peluang untuk aku deklamasikan puisi di perhimpunan, atas pentas, dalam dewan, masa time sekolah dulu. Peluang-peluang sebegini yang memberikan aku keyakinan bahawa aku boleh lakukan apa yang aku mahu.
 
Usia semakin meningkat. Alam remaja menuju kemuncaknya. Di usia lapan belas tahun, ada seorang kawan aku sarankan aku join kumpulan teater. Aku ajak adik aku sekali, tak sangka dia pun minat juga. Time ni...aku rasakan dunia ibarat syurga. Segalanya indah. Seolah-olah, impian aku telah tercapai. Ya...inilah impian aku. Inilah jiwa aku. Segalanya serasi dan sebati. Banyak juga ilmu yang aku pelajari. Banyak pengalaman yang aku kutip. Hampir setiap hari kami berlatih, tetapi di saat-saat akhir, persembahan tidak dapat dilakukan atas beberapa masalah dan halangan yang yang tidak mampu dielak.
 
Tak sangka, 'jodoh' kami juga tidak lama. Entah dimana silapnya, kumpulan kami seakan-akan berkubur begitu sahaja. Tidak mengapa, mungkin ini dugaan buat kami. Biarpun aktiviti kami terhenti, namun minat aku terhadap seni tidak akan mati. Takkan mati!
 
Aku percaya...jalannya pasti ada...suatu hari nanti.
 
 
                                            
 
Mieya Kasih

Sabtu, 1 Disember 2012

10 Helah Mendidik Anak Kecil Menggosok Gigi

 
 
Anak-anak paling mudah dilentur sewaktu usianya masih bayi. Apa yang diamalkan setiap hari pada usia mentah ini akan menjadi tabiat seiring dengan perkembangan usianya. Pasti tidak semua kanak-kanak gemar menggosok gigi. Berikut merupakan 'helah' yang boleh dipraktikkan terhadap anak-anak kita.
 

Helah 1
Sejak usia bayi, biasakan mengelap batas gusinya menggunakan tuala basah dengan lembut selepas menyusu. Ia bertujuan mengelakkan sisa susu tertinggal di dalam mulut yang kemudian akan berlendir dan mengembang.
 
 

Helah 2
Pada usia mereka mencecah tiga tahun, perkenalkan mereka dengan berus dan ubat gigi kanak-kanak. Tetapi pastikan ibu atau penjaga yang menggosok gigi kanak-kanak bagi memastikan gigi kanak-kanak digosok dengan baik dan dapat mengelakkan kanak-kanak memakan ubat gigi.
 

Helah 3
Kebanyakan ibu bapa mengambil posisi di hadapan kanak-kanak ketika menggosok gigi mereka. Teknik ini sebenarnya salah. Untuk lebih berkesan, ibu bapa harus berada di belakang kanak-kanak, sambil memegang tangan anak dan menunjukkan cara membersihkan lidah dan memberus gigi yang tepat.



Helah 4
Didik anak-anak menggosok gigi mengikut jadual setiap pagi dan malam. Pastikan ibu bapa juga menjaga gigi dan sebaik-baiknya lakukan rutin ini bersama anak-anak.

Helah 5
Pilih berus gigi dan ubat gigi yang sesuai mengikut peringkat usia dan pastinya berus gigi berwarna-warni menyemarakkan semangat mereka untuk memberus gigi.


Helah 6
Bawa anak-anak berjumpa doktor gigi seawal usia tiga tahun. Jangan tunggu sehingga giginya sakit kerana ia akan meninggalkan 'pengalaman ngeri' apabila berhadapan doktor gigi. Lawatan pertama tanpa kerosakan akan membuatkan dia suka dan menyenangi doktor gigi.
 
Helah 7
Jika kanak-kanak menikmati makanan manis, ajar mereka menggosok gigi selepas makan atau minum.
 
Helah 8
Ajar anak anda memilih snek yang kurang gula. Makanan yang manis elok diberi selepas waktu makan dan bukan antara waktu makan.
 
Helah 9
Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan masalah ggi. Antaranya adalah pembrsihan gigi yang tidak betul sehingga menyebabkan kewujudan plak atau lendir selaput gigi yang mengakibatkan gigi cepat rosak. Justeru, pembersihan efektif dan teknik yang betul sangat diperlukan.
 
Helah 10
Kerosakan gigi susu yang menyeluruh dan reput disebabkan tiada tabiat menggosok gigi sejak kecil. ini ditambah pula dengan tabiat memakan makanan yang terlalu banyak kandungan gula tanpa pembersihan gigi selepas makan.
 
 
Gigi yang cantik dapat membentuk senyuman yang indah. Didiklah anak-anak menjaga gigi dengan baik kerana hanya senyuman yang kita inginkan menghiasi wajah comel mereka. Sekian.
 
 
Sumber:
 
Majalah Nur.