Selasa, 7 Oktober 2014

Dunia Ini Kecil Tanpa Mereka

Assalamualaikum wbt

Bismillahirahmanirahim.

Nampaknya umat Islam baru sahaja merayakan Aidiladha. Syukur alhamdulillah. Ada keluarga yang dapat berkumpul bersama dan ada yang terpaksa berjauhan. Pastinya rindu kan menggamit hati andai terpaksa berjauhan dengan keluarga yang disayangi. Lumrah sudah begini...hati kecil tetap kan terusik.

Berbalik kepada tajuk di atas, mari kita imbas kembali. Saat kita dilahirkan, siapa yang ada di sisi kita pada ketika itu. Tak lain dan tidak bukan, itulah 'mereka', ibu dan ayah kita. Dunia kita hanya ada mereka. 

Saat mata terbuka kita kan melihat wanita tercantik dalam dunia, yang sentiasa tersenyum kala memandang dan sanggup bersusah walau tak senang. Biar kita menangis dan selalu menyusahkan, di hatinya kita sentiasa menang. Wajahnya sarat dengan kasih sayang dan kelembutan, suaranya lunak kala memujuk dan mendodoikan. Itulah ibu kita yang pastinya takkan terbanding dengan yang lain.

Kita juga akan melihat lelaki yang paling tampan dari seluruh benua, meskipun dia jarang ada bersama kita, tetapi setiap hari kita kan mencari kelibatnya. Kita merindui kepulangannya dan saat dia hadir, kita kan tergelak keriangan. Ya, dia selalu meninggalkan kita bersama wanita tercantik dalam dunia hanya untuk mencari nafkah, mencari rezeki yang halal untuk menyara kehidupan kita, untuk bekalan masa depan kita. Itulah ayah kita yang memang tiada galang gantinya.

Benar, dunia ini kecil tanpa mereka. Semangat yang kita miliki hari ini adalah berbekalkan asuhan mereka. Masihkah ingat lagi sewaktu kecil, perasaan takut pasti kan menguasai hati. Saat itu mereka akan menemani kita, memimpin kita dan akhirnya mereka akan membiarkan kita berjalan sendiri berbekalkan kepercayaan dan harapan setinggi langit. Kita bangun, kita cuba mendepani hari depan kerana kita tahu mereka sentiasa ada di belakang kita. Wajah mereka ada dalam hati kita. Itulah keberanian kita. Keberanian untuk terus melangkah, memungut ilmu dan merangka masa hadapan yang lebih gemilang. Hanya kerana mereka, kita melihat dunia ini begitu luas untuk diteroka. Semangat dan harapan datang dari mereka. Kejayaan kita adalah doa mereka.

Dunia ini tetap kecil tanpa mereka. Terima kasih.




Mieya Kasih 2014

Jumaat, 31 Januari 2014

Apa Khabar Semuanya???!!!

Assalamualaikum wbt...

Haaiii....apa khabar semuanya?? Eh...eh...ehhh...tetiba tanya khabar lak kan.. Mana tidaknya, busy sangat sampai x sempat nak jenguk blog tercinta ni..

Ketika menjenguk blog ni, I baru sahaja berjaya menyiapkan kesemua assigment I tau.. Bayangkan empat assigment nak kena submit dalam bulan January.. Tak pecah kepala dibuatnya. Sekarang kan dah ada 'tanggungjawab'. Hi hii hiii... (*,*)

Dalam dua tiga malam ni asyik dengar langit meletup jer... Bukan langit meletup, pantulan ke langit yang meletup rupanya... Kadang-kadang terkejut sket2. Kadang-kadang tu melatah jugaklah.. Opocot cot cott...! Pastu kan..pastu kan, errmm...rasa cam nak makan limau mandarin je...sedap! Oh ya...berikutan kejadian langit meletup tu, I nak mengucapkan Gong Xi Fa Chai kepada mereka yang berbangsa Cina. Selamat Menyambut Tahun Baru Cina... 

Lagi satu, dah alang-alang buka blog kan, I edit2 apa yang patut. Memang dah lama duk cadang nak wat 'wajah baru' sempena tahun baru. Ingat dari malam new year tu nak wat dah. Tapi kesuntukan masa time tu.. Uhuuu... (v_v)

Dan...tema blog sempena tahun 2014 adalah err...err...coklat ke hijau? Hijau ke coklat...Ha! Lebih kurang macam gold la warna dia. Suka hatilah nak sebut kaler apa pun. Sesedap bibir yang menuturkannya. He ha he ha!! ( _^_ )

Adacadabra!!! Inilah dia hasil editan perubahan wajah Mieya Kasih sempena penganjakan tahun. Secara jujurnya, I nak sangat picture gedabak tu dikecilkan. Tapi gimana yaa..??? (?_?)


#Wajah blog Mieya Kasih 2013#




#Wajah blog Mieya Kasih 2014#

Baiklah. Itu sahaja buat kali ini. Nanite..!! (O_O)

~Mieya Kasih 2014~



Selasa, 31 Disember 2013

2013 - - - ->> 2014

Assalamualaikum...

Malam ini nampaknya tidak sepi seperti malam-malam sebelumnya. Pasti ramai anak muda sedang bergembira di luar sana. Sayup-sayup kedengaran letupan bunga api yang berdentum. Ini malam tahun baru. Malam penamat dan malam permulaan.

Tahun 2013, tahun yang penuh dengan dugaan, namun banyak jua cerita indah yang terukir. Tahun 2014 bakal menjelma beberapa detik sahaja lagi. Moga yang indah belaka bakal menyusul bersama angka baru ini. Semoga dengan kehadiran tahun yang baru ini, ada rahmat dan rezeki yang tak terduga di sebaliknya. Azam seiring impian, moga kesampaian. Amin.

Nah, sudah tepat 12 malam. Letupan bunga api bergema tanpa henti. Dari jendela rumah, sudah terasa kemeriahannya. Malam ini, Kuala Lumpur dihujani warna-warni bunga api di sana sini. Selamat datang tahun baru. Setahun yang panjang sedang bermula!





~Mieya Kasih 2013-2014~


Rabu, 25 Disember 2013

Aku Memilih Hatimu.

Assalamualaikum wbt...

Disember bulan bongsu, tidak lama lagi akan meninggalkan kita.
2013, tahun yang banyak ceritanya.
Penantian yang panjang, menjelma menjadi nyata. Syukur alhamdulillah.

Kembali menatap anugerah yang diberikan Illahi, mengimbas nikmat Yang Maha Pengasih dan mengenang apa yang telah aku miliki hingga ke saat ini.  

Memilih seorang insan untuk dijadikan pasangan hidup adalah keputusan yang besar di dalam hidupku. Banyak hal yang perlu dipertimbangkan. Keserasian dalam mencambahkah buah fikiran, persefahaman dalam komunikasi, perkongsian pendapat yang tidak jauh bertentangan, minat dan citarasa dan banyak lagi. Memang nampak remeh tetapi sebenarnya semua itu penting untuk sama-sama membina kehidupan yang panjang. Biarlah selepas ijab dan kabul, hati tetap tenang kerana kita sudah mengenali siapa pasangan kita. 

Ya, begitulah yang aku rasakan sekarang. Ternyata, tidak salah aku memilih pemilik hati itu untuk kekal bertakhta di hatiku. Menyerahkan hak untuk pemilik hati itu menentukan arah mana untuk aku terus melangkah. Mengangkat darjatnya sama seperti kuasa seorang ayah memberikan keizinan atau melarang tindak tanduk anak gadisnya. Masih terbayang di suatu pagi yang indah, detik-detik berharga saat dua insan duduk bertentangan, tangan saling bergenggam erat dan melafazkan kata keramat. Hati ini jadi gundah gulana tak keruan. Seorang ayah telah menyerahkan puterinya kepada lelaki budiman secara halal. Sah!

Melewati takah ini, memang sudah lama aku dambakan. Tetapi dalam masa yang sama, hati menjerit sayu. Biarlah kalau orang nak cakap aku anak manja, memang aku sayangkan keluarga aku. Mereka dunia aku, senyuman aku dan diri ini adalah sebahagian dari mereka. Tapi aku percaya, kebahagiaan aku adalah kebahagiaan juga buat mereka.

Seperti yang aku katakan tadi, memang ternyata tidak salah aku memilih pemilik hati itu untuk kekal bertakhta di hatiku. Kerana dia adalah insan yang memahamiku sebagai wanita lemah yang mudah melatah kala dugaan menerpa. Wanita lemah yang kadangkala celaru mengharungi liku-liku percaturan kehidupan. Memahami sahaja tidak cukup kalau tidak disertakan dengan sokongan dan dorongan. Kala aku buntu, insan ini tidak jemu menghulurkan cahaya agar hati ini kembali tenang. Hadir dengan pena harapan agar senyuman ini kembali terukir. Syukur alhamdulillah.





~Mieya Kasih 2013~


Jumaat, 11 Oktober 2013

Rezeki Rahsia Allah.

Assalamualaikum wbt...

Hurrmmm...sekarang, dah x tinggal dengan family lagi. Rindu...itu semestinya. Rindu detik2 bersama keluarga tercinta. Lumrah...tempat isteri adalah di sisi suami.

Menginjak ke takah baru, maka bermulalah sebuah kehidupan baru. Permulaan kepada satu jalan yang penuh dengan impian. Impian untuk bahagia...dan impian untuk membina benteng kota cinta yang lebih kukuh.

Kadang-kadang, mak akan telefon bertanya khabar. Dan mak selalu pesan, perkahwinan ini adalah satu rezeki yang dikurniakan Allah. Rezeki yang harus dijaga sebaiknya sebab tak semua orang berkesempatan mendapat rezeki seperti ini. Rezeki manusia memang tak sama. Lebih di sana, kurang di sini. Lebih di sini, kurang di sana.

Tinggal berapa hari sahaja lagi, Aidiladha akan menjelma. Bila berjauhan dengan keluarga tercinta sebegini, terasa syahdu rindu menusuk kalbu. Rindu pada kaletah comel Qayyum dan Qisya. Rindu untuk mendakap erat tubuh-tubuh kecil yang nakal itu. Rindu, tersangat rindu!



~ ~ Cinta itu rahmat, sayang itu hikmat, 
jodoh itu tersurat, bahagia itu hasrat. ~ ~


Sekian,
Mieya Kasih 2013.

Ahad, 7 Julai 2013

Sudi Tak Jadi Isteri Saya?

Assalamualaikum...

Kisah ini berlaku lebih kurang dalam tiga atau empat tahun yang lalu. Lucu pun ada. Sewaktu itu, aku merupakan cashier di sebuah kedai menjual keperluan harian di sebuah universiti. Tetapi kami perlu juga melayan pelanggan yang jarang-jarang berkunjung ke kedai kerana mereka tidak biasa dengan susun atur kedai dan memerlukan bantuan untuk mencari barangan yang diinginkan.

Nak dijadikan cerita, suatu hari ada seorang lelaki berusia yang memang layak dipanggil pakcik berkunjung ke kedai tersebut. Tubuhnya sederhana gempal dan lebih rendah daripada aku. Entah apa yang 'pakcik' tu cari, aku sendiri pun tak pasti. Ke hulu, ke hilir. Tapi mulutnya bertanya macam-macam soalan kepada aku.

Sampailah ke soalan yang agak menyentuh hal peribadi, bunyinya begini,
"Cik ni dah kahwin ke belum?"
"Belum." jawabku bersahaja.
"Sudi tak kalau cik jadi isteri saya?" Tanya 'pakcik' tadi. Isteri pakcik??? Alahai pakcik...
"Sudi tak?" Kali ini 'pakcik' itu menoleh dan memandang wajahku. Alamak...biar betul pakcik??
"Saya dah ada pilihan lain." Jawabku dalam tegas bercampur kaget. Mencari makna tersirat di sebalik ungkapan 'pakcik' tadi. Mungkinkah 'pakcik' sedang menduga atau sekadar gurauan.
"Bagus kalau berterus terang macam ni." Tutur 'pakcik' tadi. Adakah 'pakcik' sedang memuji atau ada tafsiran lain?

Selepas membayar harga barang-barang yang dipilih, 'pakcik' tadi berlalu pergi. Memandang wajah teman sekerja, aku hanya tertawa gelihati. Tetapi teman sekerjaku tak putus-putus mengutuk 'pakcik' tadi.
"Tak padan tua, ada hati nak kahwin anak dara!" Kutuk teman sekerjaku.

Apa sebenarnya niat 'pakcik' tadi, aku tidak tahu. Tapi, mungkin 'pakcik' sekadar menduga hati anak-anak muda seperti kami. 'Pakcik' kan yang lebih dulu makan garam...



~Mieya Kasih 2013~

Sabtu, 6 Julai 2013

Menghitung Detik Dan Waktu..

Assalamualaikum...

Ketika menulis entry ini, aku berada di dalam keadaan sihat-sihat sahaja. Selsema pun dah semakin berkurangan. Baru sebentar tadi menerima kedatangan tetamu yang jauh di negara orang. Maksu, adik ayahku yang dah lama tak bersua. Seingat aku, kali terakhir ketemu, ketika usiaku lapan belas tahun. Sekarang dah ada tiga anak pun. Comel-comel sepupu aku...

Dalam sedikit hari lagi, kita akan menyambut Ramadhan yang suci. Menjelang Ramadhan, dan bakal berganti Syawal, membuatkan hatiku semakin tak keruan. Detiknya hampir tiba. Aku seakan tidak percaya, bahawa aku akan melewati takah ini. Takah yang telah lama aku nantikan, telah lama aku idamkan, namun apabila ianya semakin menghampiri, aku mengharapkan agar waktu berputar lebih perlahan.

Bukannya aku tidak sudi. Namun melewati takah ini, merupakan detik aku menyandang gelaran baru. Gelaran yang bakal membawa aku pergi jauh dari keluargaku. Kami ibarat kelopak-kelopak yang bercamtum membentuk sekuntum bunga. Apabila satu kelopak disunting, bermakna kuntuman bunga semakin mengecil. Dan meriahnya tentulah semakin menyepi. Aku jadi serba salah. Aku sayangkan detik bersama keluarga dan dalam masa yang sama, aku juga ingin menyandang gelaran bahagia ini.

Melewati takah suci ini bermakna aku tidak lagi bebas seperti sekarang. Tidak lagi bebas membuat keputusan sesuka hati. Telapak syurga kan berganti. Akan ada seorang insan yang berhak menentukan arah perjalanan hidupku. Ada tanggungjawab yang mesti aku laksanakan. Ada titah yang mesti kuturutkan. Namun disitulah terletak manisnya kebahagiaan.

Ya Allah, kau permudahkanlah perjalanan ini. Kau permudahkan urusan kami melewati takah ini. Agar gerbang kebahagiaan yang aku idamkan berada di genggaman. Amin.

~Mieya Kasih 2013~