Sabtu, 6 Julai 2013

Menghitung Detik Dan Waktu..

Assalamualaikum...

Ketika menulis entry ini, aku berada di dalam keadaan sihat-sihat sahaja. Selsema pun dah semakin berkurangan. Baru sebentar tadi menerima kedatangan tetamu yang jauh di negara orang. Maksu, adik ayahku yang dah lama tak bersua. Seingat aku, kali terakhir ketemu, ketika usiaku lapan belas tahun. Sekarang dah ada tiga anak pun. Comel-comel sepupu aku...

Dalam sedikit hari lagi, kita akan menyambut Ramadhan yang suci. Menjelang Ramadhan, dan bakal berganti Syawal, membuatkan hatiku semakin tak keruan. Detiknya hampir tiba. Aku seakan tidak percaya, bahawa aku akan melewati takah ini. Takah yang telah lama aku nantikan, telah lama aku idamkan, namun apabila ianya semakin menghampiri, aku mengharapkan agar waktu berputar lebih perlahan.

Bukannya aku tidak sudi. Namun melewati takah ini, merupakan detik aku menyandang gelaran baru. Gelaran yang bakal membawa aku pergi jauh dari keluargaku. Kami ibarat kelopak-kelopak yang bercamtum membentuk sekuntum bunga. Apabila satu kelopak disunting, bermakna kuntuman bunga semakin mengecil. Dan meriahnya tentulah semakin menyepi. Aku jadi serba salah. Aku sayangkan detik bersama keluarga dan dalam masa yang sama, aku juga ingin menyandang gelaran bahagia ini.

Melewati takah suci ini bermakna aku tidak lagi bebas seperti sekarang. Tidak lagi bebas membuat keputusan sesuka hati. Telapak syurga kan berganti. Akan ada seorang insan yang berhak menentukan arah perjalanan hidupku. Ada tanggungjawab yang mesti aku laksanakan. Ada titah yang mesti kuturutkan. Namun disitulah terletak manisnya kebahagiaan.

Ya Allah, kau permudahkanlah perjalanan ini. Kau permudahkan urusan kami melewati takah ini. Agar gerbang kebahagiaan yang aku idamkan berada di genggaman. Amin.

~Mieya Kasih 2013~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan