Sabtu, 30 April 2011

Pesan Guru

Sejak bilakah kita mengenali guru, mengenal kasih seorang guru dan mengenang jasa guru? Seawal peringkat pra sekolah, guru sedia membimbing kita...mengajar tulis dan baca dan membawa kita mengenali dunia.

Go to fullsize imageTekun kita mendengar ajaran guru, arahan guru dan segala pesanan guru. Semuanya untuk kita, demi kebaikan kita sebagai anak bangsa. Ketika di bangku sekolah...pantas sahaja kita mengangkat tangan setiap kali guru meminta jawapan dan pendapat kita. Petah sahaja kita mengeluarkan hujah keanak-anakan kita yang pastinya mewarnai hari-hari persekolahan kita ketika itu.

Mengimbas zaman persekolahan....mengenangkan kita kepada segala peristiwa manis dan pahit, lucu, duka...ketawa dan kecewa. Yang pasti...zaman itu tak mungkin kan berulang. Setiap pesan guru kita jadikan azimat buat benih semangat menuju kejayaan.


Go to fullsize imageTahun terakhirku di sekolah rendah...ketika aku masih darjah enam, seorang guru matematik memberi pesan buat seisi kelasku. Aku masih ingat lagi pada guru muda itu, Cikgu Shahbudin yang berkulit cerah dan tampan tidak pernah jemu meluangkan masa di kelas kami...dan tidak lokek menyampaikan pesan. Dan aku juga tidak pernah lupa pada pesannya yang satu itu. Katanya "Apabila kamu melangkah ke sekolah menengah nanti, kamu akan bertemu dan melihat bermacam-macam perangai. Bersedialah kamu..." Mungkin pada ketika itu aku masih belum nampak mesej guru itu....yang meminta kami berhati-hati dengan dunia luar yang bakal kami lalui.

Ya...hari ini aku mengakui kata guru muda tersebut. Bermacam-macam perangai itu tidak sahaja aku temui di sekolah menengah bahkan di peringkat ipt dan waima kemana sahaja aku pergi...aku pasti bertemu dengan 'pesan guru' tersebut. Pesan yang tidak melalaikan aku dan menjadikan aku sentiasa berwaspada dengan karenah manusia yang tidak mampu kita baca hati mereka. Terima kasih guru kerana mengingatkan aku tentang hari depan.

Go to fullsize imageSewaktu aku di bangku sekolah menengah...seorang guru sains telah meyampaikan pesan yang membawa mesej tersirat dan bermakna buat aku. Katanya "Pandanglah ke bawah walau matamu berada di atas." Aduhai...mesej guru ini agak menyentuh kalbu. Ada benarnya kata guru itu...Allah menciptakan mata kita di atas, bukan untuk kita meninggi diri dan memandang pada kedudukan semata. Kita tidak sepatutnya lupa pada mereka yang tidak berdaya...yang sengsara dan masih memerlukan bantuan serta perhatian daripada kita yang bergelar insan.

Go to fullsize imageMei 16....wajarlah jasa setiap guru itu dikenang.  Mereka adalah insan yang mulia dan kita yang pernah bergelar anak murid harus menghargai keringat minda mereka. Sekian.