Selasa, 31 Disember 2013

2013 - - - ->> 2014

Assalamualaikum...

Malam ini nampaknya tidak sepi seperti malam-malam sebelumnya. Pasti ramai anak muda sedang bergembira di luar sana. Sayup-sayup kedengaran letupan bunga api yang berdentum. Ini malam tahun baru. Malam penamat dan malam permulaan.

Tahun 2013, tahun yang penuh dengan dugaan, namun banyak jua cerita indah yang terukir. Tahun 2014 bakal menjelma beberapa detik sahaja lagi. Moga yang indah belaka bakal menyusul bersama angka baru ini. Semoga dengan kehadiran tahun yang baru ini, ada rahmat dan rezeki yang tak terduga di sebaliknya. Azam seiring impian, moga kesampaian. Amin.

Nah, sudah tepat 12 malam. Letupan bunga api bergema tanpa henti. Dari jendela rumah, sudah terasa kemeriahannya. Malam ini, Kuala Lumpur dihujani warna-warni bunga api di sana sini. Selamat datang tahun baru. Setahun yang panjang sedang bermula!





~Mieya Kasih 2013-2014~


Rabu, 25 Disember 2013

Aku Memilih Hatimu.

Assalamualaikum wbt...

Disember bulan bongsu, tidak lama lagi akan meninggalkan kita.
2013, tahun yang banyak ceritanya.
Penantian yang panjang, menjelma menjadi nyata. Syukur alhamdulillah.

Kembali menatap anugerah yang diberikan Illahi, mengimbas nikmat Yang Maha Pengasih dan mengenang apa yang telah aku miliki hingga ke saat ini.  

Memilih seorang insan untuk dijadikan pasangan hidup adalah keputusan yang besar di dalam hidupku. Banyak hal yang perlu dipertimbangkan. Keserasian dalam mencambahkah buah fikiran, persefahaman dalam komunikasi, perkongsian pendapat yang tidak jauh bertentangan, minat dan citarasa dan banyak lagi. Memang nampak remeh tetapi sebenarnya semua itu penting untuk sama-sama membina kehidupan yang panjang. Biarlah selepas ijab dan kabul, hati tetap tenang kerana kita sudah mengenali siapa pasangan kita. 

Ya, begitulah yang aku rasakan sekarang. Ternyata, tidak salah aku memilih pemilik hati itu untuk kekal bertakhta di hatiku. Menyerahkan hak untuk pemilik hati itu menentukan arah mana untuk aku terus melangkah. Mengangkat darjatnya sama seperti kuasa seorang ayah memberikan keizinan atau melarang tindak tanduk anak gadisnya. Masih terbayang di suatu pagi yang indah, detik-detik berharga saat dua insan duduk bertentangan, tangan saling bergenggam erat dan melafazkan kata keramat. Hati ini jadi gundah gulana tak keruan. Seorang ayah telah menyerahkan puterinya kepada lelaki budiman secara halal. Sah!

Melewati takah ini, memang sudah lama aku dambakan. Tetapi dalam masa yang sama, hati menjerit sayu. Biarlah kalau orang nak cakap aku anak manja, memang aku sayangkan keluarga aku. Mereka dunia aku, senyuman aku dan diri ini adalah sebahagian dari mereka. Tapi aku percaya, kebahagiaan aku adalah kebahagiaan juga buat mereka.

Seperti yang aku katakan tadi, memang ternyata tidak salah aku memilih pemilik hati itu untuk kekal bertakhta di hatiku. Kerana dia adalah insan yang memahamiku sebagai wanita lemah yang mudah melatah kala dugaan menerpa. Wanita lemah yang kadangkala celaru mengharungi liku-liku percaturan kehidupan. Memahami sahaja tidak cukup kalau tidak disertakan dengan sokongan dan dorongan. Kala aku buntu, insan ini tidak jemu menghulurkan cahaya agar hati ini kembali tenang. Hadir dengan pena harapan agar senyuman ini kembali terukir. Syukur alhamdulillah.





~Mieya Kasih 2013~


Jumaat, 11 Oktober 2013

Rezeki Rahsia Allah.

Assalamualaikum wbt...

Hurrmmm...sekarang, dah x tinggal dengan family lagi. Rindu...itu semestinya. Rindu detik2 bersama keluarga tercinta. Lumrah...tempat isteri adalah di sisi suami.

Menginjak ke takah baru, maka bermulalah sebuah kehidupan baru. Permulaan kepada satu jalan yang penuh dengan impian. Impian untuk bahagia...dan impian untuk membina benteng kota cinta yang lebih kukuh.

Kadang-kadang, mak akan telefon bertanya khabar. Dan mak selalu pesan, perkahwinan ini adalah satu rezeki yang dikurniakan Allah. Rezeki yang harus dijaga sebaiknya sebab tak semua orang berkesempatan mendapat rezeki seperti ini. Rezeki manusia memang tak sama. Lebih di sana, kurang di sini. Lebih di sini, kurang di sana.

Tinggal berapa hari sahaja lagi, Aidiladha akan menjelma. Bila berjauhan dengan keluarga tercinta sebegini, terasa syahdu rindu menusuk kalbu. Rindu pada kaletah comel Qayyum dan Qisya. Rindu untuk mendakap erat tubuh-tubuh kecil yang nakal itu. Rindu, tersangat rindu!



~ ~ Cinta itu rahmat, sayang itu hikmat, 
jodoh itu tersurat, bahagia itu hasrat. ~ ~


Sekian,
Mieya Kasih 2013.

Ahad, 7 Julai 2013

Sudi Tak Jadi Isteri Saya?

Assalamualaikum...

Kisah ini berlaku lebih kurang dalam tiga atau empat tahun yang lalu. Lucu pun ada. Sewaktu itu, aku merupakan cashier di sebuah kedai menjual keperluan harian di sebuah universiti. Tetapi kami perlu juga melayan pelanggan yang jarang-jarang berkunjung ke kedai kerana mereka tidak biasa dengan susun atur kedai dan memerlukan bantuan untuk mencari barangan yang diinginkan.

Nak dijadikan cerita, suatu hari ada seorang lelaki berusia yang memang layak dipanggil pakcik berkunjung ke kedai tersebut. Tubuhnya sederhana gempal dan lebih rendah daripada aku. Entah apa yang 'pakcik' tu cari, aku sendiri pun tak pasti. Ke hulu, ke hilir. Tapi mulutnya bertanya macam-macam soalan kepada aku.

Sampailah ke soalan yang agak menyentuh hal peribadi, bunyinya begini,
"Cik ni dah kahwin ke belum?"
"Belum." jawabku bersahaja.
"Sudi tak kalau cik jadi isteri saya?" Tanya 'pakcik' tadi. Isteri pakcik??? Alahai pakcik...
"Sudi tak?" Kali ini 'pakcik' itu menoleh dan memandang wajahku. Alamak...biar betul pakcik??
"Saya dah ada pilihan lain." Jawabku dalam tegas bercampur kaget. Mencari makna tersirat di sebalik ungkapan 'pakcik' tadi. Mungkinkah 'pakcik' sedang menduga atau sekadar gurauan.
"Bagus kalau berterus terang macam ni." Tutur 'pakcik' tadi. Adakah 'pakcik' sedang memuji atau ada tafsiran lain?

Selepas membayar harga barang-barang yang dipilih, 'pakcik' tadi berlalu pergi. Memandang wajah teman sekerja, aku hanya tertawa gelihati. Tetapi teman sekerjaku tak putus-putus mengutuk 'pakcik' tadi.
"Tak padan tua, ada hati nak kahwin anak dara!" Kutuk teman sekerjaku.

Apa sebenarnya niat 'pakcik' tadi, aku tidak tahu. Tapi, mungkin 'pakcik' sekadar menduga hati anak-anak muda seperti kami. 'Pakcik' kan yang lebih dulu makan garam...



~Mieya Kasih 2013~

Sabtu, 6 Julai 2013

Menghitung Detik Dan Waktu..

Assalamualaikum...

Ketika menulis entry ini, aku berada di dalam keadaan sihat-sihat sahaja. Selsema pun dah semakin berkurangan. Baru sebentar tadi menerima kedatangan tetamu yang jauh di negara orang. Maksu, adik ayahku yang dah lama tak bersua. Seingat aku, kali terakhir ketemu, ketika usiaku lapan belas tahun. Sekarang dah ada tiga anak pun. Comel-comel sepupu aku...

Dalam sedikit hari lagi, kita akan menyambut Ramadhan yang suci. Menjelang Ramadhan, dan bakal berganti Syawal, membuatkan hatiku semakin tak keruan. Detiknya hampir tiba. Aku seakan tidak percaya, bahawa aku akan melewati takah ini. Takah yang telah lama aku nantikan, telah lama aku idamkan, namun apabila ianya semakin menghampiri, aku mengharapkan agar waktu berputar lebih perlahan.

Bukannya aku tidak sudi. Namun melewati takah ini, merupakan detik aku menyandang gelaran baru. Gelaran yang bakal membawa aku pergi jauh dari keluargaku. Kami ibarat kelopak-kelopak yang bercamtum membentuk sekuntum bunga. Apabila satu kelopak disunting, bermakna kuntuman bunga semakin mengecil. Dan meriahnya tentulah semakin menyepi. Aku jadi serba salah. Aku sayangkan detik bersama keluarga dan dalam masa yang sama, aku juga ingin menyandang gelaran bahagia ini.

Melewati takah suci ini bermakna aku tidak lagi bebas seperti sekarang. Tidak lagi bebas membuat keputusan sesuka hati. Telapak syurga kan berganti. Akan ada seorang insan yang berhak menentukan arah perjalanan hidupku. Ada tanggungjawab yang mesti aku laksanakan. Ada titah yang mesti kuturutkan. Namun disitulah terletak manisnya kebahagiaan.

Ya Allah, kau permudahkanlah perjalanan ini. Kau permudahkan urusan kami melewati takah ini. Agar gerbang kebahagiaan yang aku idamkan berada di genggaman. Amin.

~Mieya Kasih 2013~

Ahad, 16 Jun 2013

Tanjung Bunga April

Asalamualaikum wbt...

Wah..baru ada peluang menjenguk blog. Sebelum ni busy ngan study sebab nak hadapi final exam. Syukur, semuanya dah selesai. Keinginan meluap-luap nak menulis blog namun dipendamkan sahaja sebab pelajaran perlu diututamakan.

Dan sekarang...masa untuk bersenang-senang. Maklumlah cuti semester kan...

Ok, kali ni nak kongsi gambar-gambar yang sempat dirakamkan sewaktu aku dan family aku pergi ke Tanjug Bunga pada April yang lalu. Ohh dah masuk bulan Jun...cepatnya...




Qayyum, si comel yang semakin pintar. Dah besar, dah jadi abang pun...

Di bawah pokok...

Qayyum kat pondok kegemaran aku. Sejak kecil aku memang terpikat ngan bentuk tiang pondok ni yang menyerong-nyerong tu. Sejak kecil pun dah amik gambar kat sini.

Rindu tiang senget ni... Huurrrmmm....

Mengejar puteri kecil yang tak mahu bergambar. Geramnya!!

Curi-curi snap pic dia sewaktu ayah dukung si kecik ni..

Akhirnya puteri kecil bagi kerjasama. Cayang Qisya!!

Posing atas keretapi..

Abang jaga adik.

Di samping ambil pic family, aku juga snap sana sini. Apa2 yang aku rasa menarik, aku snap.

Lihatlah monyet2 di atas pagar hijau tu... Pesanan, jaga memandai nak bawa makanan kalau takde niat nak sedekahkan kat monyet2 ni.. Nanti diorang kejar sampai dapat. Kalau ada makanan pun, jangan kasi diorang nampak. Kecuali kalau makanan tu memang nak kasi diorang..

Family ku jauh di depan. Aku di belakang..

Akar pokok yang cantik.

Ni nama pokok yang banyak akar tu...Pong-pong.

Nama pun Tanjung Bunga...

Sungai yang menarik perhatian.

Cantik kan bunga ni. Sekali tengok macam bunga raya..

Pondok kegemaranku...

Rumput pun cantik..

Ni kat bahagian luar..

Kolam ni pun kat luar..

Ok, itu saja. Terima kasih! (^,^)


Mieya Kasih 2013

Khamis, 9 Mei 2013

Baju Kurung Moden ~~ 2 pilihan warna.



Assalamualaikum...
Kali ni nak berniaga la pulak. Heh heh..

Ok, di sini saya ada menyediakan dua pilihan warna baju kurung buat pilihan anda semua. Corak yang simple ini sangat sesuai dipakai ke pejabat atau ke tempat kerja. Warna yang lembut dan tidak menyerlah ini sesuai buat wanita dan para gadis yang mementingkan kesederhanaan di dalam penampilan mereka. Tambahan pula, corak lingkaran yang menegak ini dapat memberikan ilusi tubuh yang lebih tinggi buat si pemakainya.

Tunggu apa lagi, jom kita semak satu-satu.

Pilihan yang pertama, tampil manis dan menawan dengan warna hijau lembut yang digabungkan dengan latar putih dan hitam. Disediakan bersama lengan hitam dan sedikit palitan hijau menyerlahkan lagi gaya elegan anda.

Size : L
RM 120


Mahu tampil lebih ceria? Kita rujuk pilihan yang kedua. Warna purple buat mencerahkan hari-hari anda. Tetapi masih kelihatan sopan dengan padanan warna putih dan juga sulaman manik-manik yang melingkari leher dan dada baju.

Size : M
RM 120

Pilihan anda melambangkan citarasa anda. Buatlah pilihan yang tepat dan bijak. Anda berminat? PM saya di sini~~



~Mieya Kasih~



Ahad, 28 April 2013

Setulus Kasihmu, Kekasih.

Di mana kan ku cari insan setulus kamu..
setia menemani saat susah dan senangku..
sedia menyapu kembali airmataku yang sesekali tumpah dari tubirnya..
setiap kali ketemu, hanya senyuman indah terukir di bibir kita..
kau tak pernah menyatakan rasa jemu, atau benci padaku..
walau siapapun aku, dihatimu ku tetap ratu..

Kau melengkapi setiap kekuranganku
setia berdampingan walau ke mana saja
sedia menunjuk jalan yang membuka hari depan
mungkin dulu hatiku kosong tak berteman
hari ini dikau isikan dengan senyuman
juga debunga cinta penuh keceriaan
hingga terbit warna indah dimana-mana
hingga durja tidak mampu lagi aku temukan.

Saat aku membuka mata dari lena semalam
ku tahu suria itu tetap menyirna membuka rahsia
namun hatiku lebih tahu
dikau tetap ada dalam getar cinta
mengharapkan cahaya bahagia dari ulas mata
setulus kasihmu yang menyinari hatiku
mekar menghiasi jambangan
takkan kelayuan.


-Mieya Kasih 2013-

Sabtu, 20 April 2013

Berakhirnya Musim Assignment

Assalamualaikum...

Syukur ke hadrat Illahi di atas segala limpah kurnianya. Syukur alhamdulillah, musim tegang sudah berakhir. Musim assignment, di mana aku harus memerah otak mencerna idea mencari sebarang maklumat untuk menyiapkan assignment ku yang bertingkat-tingkat. Bukan mudah, banyak cabaran dan rintangan yang perlu aku tempuhi.

Bukan satu dua assignment aku kali ni. Tujuh semuanya. Satu assignment berkumpulan dan enam assigment individu. Jujur, aku lebih menggemari assignment individu berbanding assignment berkumpulan. Lebih mudah dan cepat untuk disiapkan. Tidak perlu mencari masa terluang bersama ahli kumpulan kerana masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing. 



Cabaran menyiapkan assigment di semester ini benar-benar menguji tahap kesabaran dan kekuatan emosi. Mana tidaknya, due date yang ditetapkan bersusun-susun, selang satu minggu, selang dua hari, selang satu hari dan ada juga assigment bertindan, iaitu dua assigment yang harus diserahkan pada hari dan waktu yang sama. Kelam kabut kelibut dibuatnya. Tak kira siang tak kira malam, mata mesti berjaga. Library, internet jadi tempat meneroka, tempat bertapa. Kalau masuk library, sekali pinjam tujuh lapan buku, maklumlah, nak hasilkan tugasan yang terbaik bukannya mudah.


Bahan-bahan kat internet pun boleh tahan. Time ni lah nak serlahkan kreativiti pun. Bahan-bahan kat internet, bahan-bahan kat buku-buku library tu, semuanya harus diolah sekreatif mungkin agar bertepatan dengan kehendak soalan. Kualiti kena jaga...hrmm hrmm..



Stress, tension, sakit kepala semua tak payah cakapla. Memang kena rasa pun. Bukan senang nak menelaah buku-buku library tu satu persatu. Pulak tu, bukan mudah nak cari maklumat yang betul-betul tepat dengan kehendak soalan. Kita kena pandai kaitkan soalan dengan persoalan yang ada. Kena pandai selarikan maklumat-maklumat yang ada supaya tidak bercanggah dengan kehendak soalan. Sebab buat assignment peringkat universiti ni tak sama dengan buat karangan peringkat sekolah menengah. Bukan boleh main petik jari ja. Maklumat kena logik dan tepat. Nak kena ada sumber rujukan semua lagi. Nota kaki lagi. Lepas tu pulak, satu assigment tu nak kena taip sampai 1000 hingga 2000 patah perkataan. Tapi kalau terlebih idea tu, terlebih pulak perkataannya. Nasib la dapat student macam aku ni...

Tapi...yang paling penting adalah kesabaran. Tanpa kesabaran, tak mungkin assignment dapat disiapkan dengan baik. Kadang-kadang kita sendiri pun rasa tak puas hati kalau buat assignment ala kadar, cincai-cincai je kan? Sedangkan kita mampu buat yang lebih baik. Kenapa kita kena sia-siakan peluang yang ada?



Akhirnya, bila ketujuh-tujuh assignmet tu dah siap, barulah dapat bernafas dengan lega kan? Barulah boleh tersenyum senang hati. Senyum, senyum juga. Final tak lama lagi. Kena study banyak-banyak lak pasni..

Seronok jadi student ni.. (^_^)

Mieya Kasih 2013

Jumaat, 5 April 2013

APRIL DATANG

Assalamualaikum..

Salam April 2013. Sudah lama rasanya tidak menjengah ke blog kesayangan ini. Sebenarnya beberapa hari kebelakangan ini, aku selalu cuba membuka blog, tapi tak dapat-dapat. Tak tahu kenapa, silap di mana.

Dan pagi tadi, bila aku bangun awal, aku cuba lagi. Kali ini, baru blog dapat dibuka, cantik tertayang di skrin pc ku. Apa lagi, mood rajin menjengah, aku edit apa yang patut. Kan dah lama page blog ni colour maroon. So, aku tukar serba sedikit, biar berwajah baru. Tukar sana...tukar sini. Edit sana..edit sini. Nahh...siap!

Mungkin blog aku tak secantik blog orang lain. Aku bukan pandai sangat bab-bab ni. Sikit-sikit bolehlaa..

Hrrmm, semenjak menjengah ke tahun baru, inilah entry pertama yang aku pos kan. Bukan apa, aku busy sangat. Sangat-sangat busy sejak awal tahun lagi. Sekarang, baru lapang sikit. Alhamdulillah...satu persatu ujian dan kesibukan waktu berjaya aku harungi dengan tenang.

Dan sepanjang ujian dan kesibukan waktu tersebut, impian-impian aku tercapai! Syukur kepadaMu Ya Allah. Dia tetap ada, tetap mendengar luahan hati kita, walaupun kadang-kadang kita terleka dan terlupa kepadaNYa.

Aku bukanlah insan yang sempurna, tetapi rahmat Illahi menyempurnakan perjalanan hidupku. Dengan apa yang telah Allah kurniakan kepadaku, segala ujian dan kasih sayang kepada hamba yang kerdil ini, kini...ada kelainan yang aku rasakan.

Dan buat diriku...aku merasakan sudah tiba masanya untuk aku berubah ke arah yang lebih baik.

In Sha Allah..



~Mieya Kasih' 2013~