Khamis, 2 Jun 2011

...Tika Mendengar Berita Itu...

Go to fullsize image

Betapa hati kecilku
Menjerit teruja
Tika mendengar berita itu
Khabar gembira dari sana

Duhai angin
Duhai bulan duhai mentari
Sampaikan salam rinduku
Pada sang suci yang belum mengerti
Realiti dan duniawi

Betapa aku tidak sabar lagi
Menanti kehadiranmu
Mengendong suci tubuh kecilmu
Memanggil namamu
Dan mencium ubun lembutmu

Betapa aku membilang waktu
Mengharapkan hari-hari lekas berlalu
tika mendengar berita itu
Sayang..
Rasa kasih ini telah pun terbit
Rasa rindu ini mula membahang
Ingin aku..
Melihat wajahmu..
Senyummu…
Manjamu…
Nakalmu…
Tangisanmu..
Kaletahmu…
Semuanya sayang!

Lahirmu sayang…
Sentiasa dinantikan
Pasti kau kan membawa sinar bahagia
Yang lebih bermakna

Go to fullsize image
Andainya kau tahu..
Betapa aku tersenyum
Berangan dan bermimpi
Saban hari
Tika mendengar berita itu
Tika mengenang berita itu.



 




Ahad, 22 Mei 2011

Anak-anak Aktif



Anak-anak adalah kurniaan yang paling berharga. Anda mungkin memiliki anak, anak saudara atau adik kecil yang nakal dan aktif. Biarkan saja kerana tanpa anda sedari anak-anak anda sedang menerokai dunia yang baru melalui bentuk permainannya. Menegah anak anda bermain dengan aktif beerti menyekat penerokaan mereka. Biarkan daya imaginasi mereka bercambah meskipun kemudiannya anda harus mengemaskan kembali rumah yang berselarak, lantai yang basah atau lipstick anda yang patah! Relakan sahaja semua itu demi perkembangan minda anak anda. Ingat, mereka cuma anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Kerja seorang kanak-kanak adalah bermain dan biarkan mereka menjalankan ‘tugas’ mereka dengan sempurna.

Jangan sesekali gunakan kekerasan kerana anda sedang mendidik anak anda supaya membenci diri anda. Buktikan pada anak anda bahawa anda adalah ibu bapa yang paling sempurna dan insan  yang paling selamat di sisi mereka. Tunjukkan contoh yang baik agar mereka mampu menjadi sempurna seperti anda. Kebengisan hanya akan memburukkan keadaan. Adakah anda rela melihat hati anak kecil anda terluka?

Anak-anak anda mungkin mengalami kecederaan ketika bermain. Ada kemungkinan mereka akan terjatuh dan terluka. Tindakan anda adalah salah jika anda terus memukul dan memarahi mereka.  Tingkatkan tahap kesabaran anda dan yakini mereka bahawa anda mampu melindungi mereka dengan baik. Redakan tangisan mereka dan peluklah mereka dengan erat jika perlu. Rawatlah kecederaan mereka dengan baik. Ada baiknya luka mereka dibasuh terlebih dahulu dengan air bersih kerana dikhuatiri ada kuman yang bakal merebak. Kemudian, ambil peti  kecemasan anda dan pilihlah minyak yang tidak panas dan tidak memedihkan kulit mereka. Percayalah, hati kecil mereka tetap takut untuk menerima olesan minyak di tempat luka mereka. Cuba alih perhatian mereka. Ceritakan tentang pengalaman anda sewaktu kecil ketika anda  mengalami nasib yang sama seperti mereka. Ceritakan bagaimana ibu atau penjaga anda merawat anda ketika itu. Anak anda pasti terleka ketika mendengar cerita anda. Mereka hampir terlupa bahawa tangan anda sedang ligat memainkan peranan merawat luka mereka. Sudahi  cerita anda apabila rawatan telah selesai. Nah, mereka tidak sempat mengaduh kesakitan!

Sebagai ibu bapa, anda seharusnya bebangga jika memiliki anak-anak yang aktif. Percayalah, anak-anak aktif ini adalah anak-anak yang berminda cergas dan mereka sebenarnya adalah anak yang bijak. Sesekali ikutlah rentak mereka, bermain bersama mereka dan tanamlah cita-cita berserta semangat yang tinggi di dalam jiwa mereka. Mungkin anda tidak tahu, anak-anak aktif adalah kanak-kanak yang paling layak menyandang jawatan ketua di sekolahnya. Mereka memiliki aura sebagai pemimpin dan mampu mempengaruhi rakan-rakan mereka. Didiklah mereka dengan baik agar mereka mampu membawa pengaruh yang baik di kalangan rakan seusia mereka.
Hati kanak-kanak sama juga seperti hati kita. Andai hati kita pernah merasa sakit, tentu hati mereka juga pernah mengalaminya. Bezanya, mereka masih mentah untuk mengerti mengapakah hati mereka perlu menerima sesuatu yang  menyakitkan. Siapakah yang mampu meredakan kesakitan hati mereka? Cuma kita, penjaga mereka, ibu bapa mereka dan keluarga terdekat mereka. Mereka cuma tahu apa yang mereka miliki hanyalah keluarga mereka, tempat mereka berteduh. Jadi, peliharalah hati kanak-kanak dengan sebaiknya, semaikan kasih dan sayang  agar mereka sentiasa akrab dengan anda biarpun mereka dewasa kelak. Percayalah, mereka akan mengenangi kasih sayang anda dan mereka mungkin akan menjadi lebih baik dari anda. Mereka adalah kebanggaan anda dan anda adalah idola terbaik mereka! Sayangilah anak-anak anda kerana mereka adalah amanah kita.






Ahad, 1 Mei 2011

Selamat Hari Pekerja

Selamat Hari Pekerja buat semua pekerja di Malaysia!

Untuk pengetahuan anda, Hari Pekerja mula diiktiraf oleh Kerajaan pada tahun 1973 apabila diisytiharkan sebagai hari kelepasan am (cuti umum) pada tarikh 1 Mei setiap tahun. Kerajaan telah mula menganjurkan Perhimpunan Hari Pekerja mulai tahun 1991.

Tetamu kehormat di perhimpunan ini ialah YAB Perdana Menteri Malaysia.YAB Perdana Menteri bertanggungjawab menyampaikan Amanat Khas dan Anugerah Hari Pekerja di hadapan pekerja yang terdiri daripada pekerja sektor awam dan swasta. Upacara perhimpunan ini disiarkan secara langsung di televisyen dan radio serta diberi liputan yang meluas oleh media cetak.

Pada tahun ini,sambutan hari pekerja diadakan pada 7 Mei 2011 bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil. Sambutan seawal jam 7.30 pagi ini akan dihadiri oleh tetamu kehormat YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Bin Mohd Yassin berserta seramai 12,000 warga pekerja dan majikan. Sambutan ini dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Akan tetapi sebenarnya hari ini disebut juga sebagai Hari Pekerja Antarabangsa, yang mana ia merupakan peringatan tentang kejayaan ekonomi dan sosial bagi pergerakan pekerja. Tarikh 1 Mei digunakan kerana pada tahun 1884, Persekutuan Persatuan Pekerja dan Buruh, yang diinspirasikan oleh kejayaan Parti Labour 1872 di Kanada, meminta lapan jam waktu bekerja di Amerika Syarikat, dikuatkuasakan pada 1 Mei, 1886. Ini mengakibatkan mogok umum dan Mogok Haymarket pada tahun 1886, tetapi beransur-ansur juga di pejabat selama lapan-jam waktu bekerja.

Tidak kira apa jua pekerjaan kita, hari pekerja adalah untuk kita semua. Setiap kerja itu adalah mulia kerana kita sama-sama mencari rezeki yang halal. Setiap pekerjaan yang kita lakukan selayaknya dihargai asalkan ianya berserta niat yang ikhlas di dalam menjalankan tugas dan amanah. Berbanggalah dengan kerjaya anda kerana di situlah terletaknya punca rezeki.

Akhir kata, bersama-samalah kita meningkatkan mutu dan produktiviti kerja walau di dalam bidang kerjaya apa pun yang kita ceburi. Salam 1 Malaysia.

Go to fullsize image


 








Sabtu, 30 April 2011

Pesan Guru

Sejak bilakah kita mengenali guru, mengenal kasih seorang guru dan mengenang jasa guru? Seawal peringkat pra sekolah, guru sedia membimbing kita...mengajar tulis dan baca dan membawa kita mengenali dunia.

Go to fullsize imageTekun kita mendengar ajaran guru, arahan guru dan segala pesanan guru. Semuanya untuk kita, demi kebaikan kita sebagai anak bangsa. Ketika di bangku sekolah...pantas sahaja kita mengangkat tangan setiap kali guru meminta jawapan dan pendapat kita. Petah sahaja kita mengeluarkan hujah keanak-anakan kita yang pastinya mewarnai hari-hari persekolahan kita ketika itu.

Mengimbas zaman persekolahan....mengenangkan kita kepada segala peristiwa manis dan pahit, lucu, duka...ketawa dan kecewa. Yang pasti...zaman itu tak mungkin kan berulang. Setiap pesan guru kita jadikan azimat buat benih semangat menuju kejayaan.


Go to fullsize imageTahun terakhirku di sekolah rendah...ketika aku masih darjah enam, seorang guru matematik memberi pesan buat seisi kelasku. Aku masih ingat lagi pada guru muda itu, Cikgu Shahbudin yang berkulit cerah dan tampan tidak pernah jemu meluangkan masa di kelas kami...dan tidak lokek menyampaikan pesan. Dan aku juga tidak pernah lupa pada pesannya yang satu itu. Katanya "Apabila kamu melangkah ke sekolah menengah nanti, kamu akan bertemu dan melihat bermacam-macam perangai. Bersedialah kamu..." Mungkin pada ketika itu aku masih belum nampak mesej guru itu....yang meminta kami berhati-hati dengan dunia luar yang bakal kami lalui.

Ya...hari ini aku mengakui kata guru muda tersebut. Bermacam-macam perangai itu tidak sahaja aku temui di sekolah menengah bahkan di peringkat ipt dan waima kemana sahaja aku pergi...aku pasti bertemu dengan 'pesan guru' tersebut. Pesan yang tidak melalaikan aku dan menjadikan aku sentiasa berwaspada dengan karenah manusia yang tidak mampu kita baca hati mereka. Terima kasih guru kerana mengingatkan aku tentang hari depan.

Go to fullsize imageSewaktu aku di bangku sekolah menengah...seorang guru sains telah meyampaikan pesan yang membawa mesej tersirat dan bermakna buat aku. Katanya "Pandanglah ke bawah walau matamu berada di atas." Aduhai...mesej guru ini agak menyentuh kalbu. Ada benarnya kata guru itu...Allah menciptakan mata kita di atas, bukan untuk kita meninggi diri dan memandang pada kedudukan semata. Kita tidak sepatutnya lupa pada mereka yang tidak berdaya...yang sengsara dan masih memerlukan bantuan serta perhatian daripada kita yang bergelar insan.

Go to fullsize imageMei 16....wajarlah jasa setiap guru itu dikenang.  Mereka adalah insan yang mulia dan kita yang pernah bergelar anak murid harus menghargai keringat minda mereka. Sekian. 


Selasa, 22 Mac 2011

Aku Junjung Adat Melayu

Setiap insan pasti punya warna kehidupannya yang tersendiri. Yang beraneka ragam, mendamaikan, menceriakan dan pastinya yang membahagiakan kerna kebahagiaan itulah kunci sebuah senyuman. Namun corak kehidupan yang aku lalui hari ini mungkin agak janggal bagi sesetengah orang.

Percaya atau tidak, sejak kecil aku terasuh dengan pantang larang dan adat melayu. Memang aku sendiri pernah tertawa gelihati bila dilarang membuat itu dan ini namun aku merasakan diri ini bertuah kerna berpeluang untuk mengenali adat warisan dan budaya melayu yang sebenarnya.

Ibuku tercinta, tidak akan pernah jemu memberi pesan dan menegah perbuatan aku yang pada pandangannya agak bercanggah dengan adat melayu. Berprotokol, dikontrol atau terkongkongkah pergerakan dan nilai kehidupanku? Tentulah tidak sama sekali kerna aku berpeluang menjalani sebuah kehidupan yang berseni.

Ibu pasti melarang aku makan atau minum dengan menggunakan gelas atau pinggan yang sumbing. Kerna katanya anak dara tidak manis menggunakan pinggan atau gelas sebegitu. Kata orang tua-tua dahulukala, nanti calon suaminya berbibir sumbing!

Pantang melapik dua pinggan sekaligus ketika makan. Kalau mangkuk beralas piring tu lain ceritalah. Alasan pantang sebegini tidak pula aku ketahui tapi memang aku tak pernah lagilah buat kerja ni...memang nampak tak sopan pun...

Dilarang mengangkat pinggan seperti meletakkan pinggan tersebut di telapak tangan sewaktu makan. Tapi kalau kat tempat-tempat tertentu yang kita kena duduk bersimpuh sewaktu makan, aku angkat juga la sedikit pinggan tu untuk memudahkan proses memakan nasi supaya lebih cepat dan nasi pun tak mudah tumpah. He hee..

Ohh...anak dara tak elok menyanyi di dapur, takut nanti dapat suami tua. Eheheee...ala, kalau tua setahun dua tu apa salahnya kan mak...kan kan... Sebenarnya orang tua-tua ni bimbang kot-kot anak dara diorang terleka menyanyi sampai hangus lauk-pauk di dapur...

Sebenarnya masih banyak pantang larang yang aku amalkan sejak kecil hasil asuhan mak aku. Diantaranya, jangan makan leher ayam, pantang sebelum bersanding, nanti kepala teleng di atas pelamin...anak dara tak molek pakai baju yang berlubang atau koyak...tak manis... Kalau di depan orang tua-tua, duduknya jangan bersilang panggung ye nak...kurang sopan. Haa...kalau meniarap tu, kakinya jangan diangkat...seperti mendoakan pemergian orang tua... Jangan potong kuku di waktu senja... Jangan duduk atas bantal...nanti tumbuh bisul. Jangan melangkah bantal tidur. Jangan menunjuk kepada pelangi...dan baaaaaaanyak lagi jangan.

Bila direnungkan kembali, pantang larang sebegini sebenarnya melambangkan budaya nenek moyang kita yang penuh dengan kesantunan. Dan teguran-teguran mereka sebenarnya menggambarkan keperihatinan mereka terhadap generasi muda. Sebagai anak melayu, apa salahnya jika aku masih mewarisi adat resam kemelayuan ini asalkan ianya tidak memudaratkan aku dan selagi ianya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Tanpa nenek moyang kita, siapalah kita pada hari ini.

Kepada ibu tercinta, terima kasih kerana tidak pernah lekang dari menyimpan rasa bimbang di hatimu terhadap anak gadismu ini. Restuilah perjalanan hidupku dan bukakanlah ruang pintu syurga di bawah telapak kakimu agar bisa aku berteduh.

Go to fullsize image


Ahad, 20 Mac 2011

Bisik Gerimis

Gerimis membisik syahdu ke telinga,
membawa berita khabar dari syurga,
ada rahsia di balik langit tujuh petala,
ada kudus doa memanjat ke sana.

Nun jauh di angkasa,
gerimis menujah lantai bumi,
dan pawana pun kedinginan.
ada nyala dalam gelita,
ada irama dalam nyata.

Biarkan gerimis berbicara,
tentang malam dan senja,
tentang hati dan jiwa,
tentang luka dan kecewa.

Bilakah kita akan ketawa,
saat luka membalut jiwa?
Bilakah kita akan merana,
saat bahagia menghimpit hati?

Dan kita pun merasa,
keganjilan dalam dada,
saat gerimis membisik syahdu ke telinga...

Go to fullsize image

Jumaat, 28 Januari 2011

Ada Apa Dengan Januari...

Diam tak diam...dalam kita meniti kehidupan sehari demi sehari...januari pun bakal berlalu. Ada apa ya dengan januari....31 hari bukanlah sekejap...tetapi begitu pantas berlalu...

Januari biasa-biasa sahaja bagi aku. Melalui kehidupan seperti biasa, ke tempat kerja setiap pagi dan melayan karenah si comel-si comel yang nakal dan petah. Semuanya berjalan mudah.

Hari minggu banyak terisi bersama keluarga. Balik kampung...jalan-jalan dan makan-makan. Ayah banyak belanja kitorang makan bulan ni. Makan pizza...makan laksa dan abc di gerai pokok janggus. Perjalanan nak gi pokok janggus ni pun menarik gak. Kitorang kena lalui perjalanan yang berbukit-bukit. Best tau, kadang-kadang tu nampak laut ngan perkampungan kat bahagian bawah....makan pasembor dan abc lagi di padang kota. Makan koteaw hailam kat restoran bulan. Nape nama restoran bulan? Sebab dari restoran ni kita leh nampak bulan purnama yang betul-betul menghadap restoran ni. Cahayanya yang terang menyimbah ke setiap pengunjung yang bertandang. Hmmm....makan jagung...makan m'd..semalam makan laksa dengan rojak kat gerai apa ntah..eh, asyik makan je?

Hmm....dapat lak cuti seminggu sempena hari raya cina. Dapat gaji lagi. Dalam cuti panjang ni pulak, kitorang satu family nak g kl, umah kakak. Dapatlah bertemu dengan si buah hati. Leh dating puas-puas! Yang paling best...ada satu malam tu, aku kat Giant, aku dapat satu panggilan dari yang tersayang. Dia beri satu berita gembira. Aku saaaaangat bahagia dengan berita ini. Berita apa ya? Eh...rahsialah!

Dalam duk seronok-seronok ni, ada gak yang tak seronok. Di awal Februari, aku ditemani demam seharian. Pastu sepanjang februari, batuk dan selesema mengiringi aku. Sampai saat ni, masih ada saki baki batuknya. Aku nak cepat sembuh. Aku nak sembuh sepenuhnya bila berjumpa dengan si dia nanti Taknak virus ni berjangkit kat dia lak. Sian dia tau..

Februari bakal menjelma. Apa lak yang akan berlaku pada Februari 2011 ini. Bersama kita nantikan. Dan aku harap, biarlah yang baik-baik sahaja. Amin...


 Ni time kat m'D lah. Adik aku nak sangat makan m'd. Si Qayyum pun ikut sekali.

 Bersungguh-sungguh diorang makan!

 Tengok tu, bukan main senyum Qayyum ni. Makan 'holiau!' Dia kata.

 Nyam nyam! Sedapnya abc.. Tgk, ada aiskrim keladi, ada jagung, buah pala...sedap kan! Walaupun batuk dan selesema, aku telak gak semanggkuk besar abc ni.. Tak lepas punya!
 Tudiaaa.....! Slurp...slurp...
 Tiga beradik...eh bukan. Dua beradik...satu anak sedara.
 Makan jangan tak makan!
 Perangai dia lah tu!
 "Mama...Yum dah sunat ke???" Eeehhhh...lambat lagi la... Dah pandai pakai kain pelikat. Hehe...
 Mamam pizza...
Apa ni. Oooooh....tadi kat bj, aku try lipstik edisi terhad simply siti. Tu je..xde pape..saja nk simpan pic ni, nengok colour dia. Oren.

Ahad, 2 Januari 2011

Rakan baru?

Hari ni....seawal jam enam pagi, aku sampai ke pulau pinang setelah dua hari menghabiskan hari minggu di perlis. Baring-baring sekejap, pastu aku bersiap-siap untuk ke tempat kerja. Sempat pula aku masak roti telur...

Hari pertama di tempat kerja, semuanya baru belaka. Tahun baru, kerja baru, tugas baru, tanggungjawab baru dan rakan-rakan baru. Siapa ya rakan-rakan baru aku? Ahaa....si cilik yang comel-comel belaka. Inilah pengalaman baru yang harus aku tempuhi. Mendekati anak-anak kecil yang manja dan lincah, dan selalu juga nakal. Kadangkala mereka bagaikan raja, meminta itu dan ini.

Dalam ramai-ramai si cilik ini, aku tertarik pada seorang kanak-kanak. Qawim, pelajar yang paaaaaaling nakal! Kerjanya menyakat budak-budak lain dan menyampuk sewaktu cikgu mengajar. Qawim juga memiliki suara yang paling kuat di dalam kelas. Anak kecil berwajah bulat ini memang tak reti duduk diam.

Tapi....aku juga dapat merasakan bahawa Qawim seorang anak yang bijak. Bayangkan, dia dapat memenuhkan sehelai kertas kosong dengan berbagai-bagai kesinambungan lukisannya berbanding anak-anak yang lain. Ada pokok, ada rumput, ada bunga...ada kuda...kuda ker? Macam kucing, heheheee.... Bijak juga dia memanfaatkan sehelai kertas putih. Hmmm....

Apa-apapun, ni baru hari pertama aku bersama diorang. Merekalah anak-anak murid pertama aku... Aku harap, semuanya akan berjalan dengan baik. Mereka tiada masalah, cuma ada dua orang pelajar yang menangis. Tetapi mereka diam bila dipujuk. Yang lain semuanya ok.. Wahai si cilik, selamat datang ke dalam hidupku...dunia baruku...

Go to fullsize imageGo to fullsize imageGo to fullsize image              
Go to fullsize imageGo to fullsize imageGo to fullsize image