Ahad, 22 Mei 2011

Anak-anak Aktif



Anak-anak adalah kurniaan yang paling berharga. Anda mungkin memiliki anak, anak saudara atau adik kecil yang nakal dan aktif. Biarkan saja kerana tanpa anda sedari anak-anak anda sedang menerokai dunia yang baru melalui bentuk permainannya. Menegah anak anda bermain dengan aktif beerti menyekat penerokaan mereka. Biarkan daya imaginasi mereka bercambah meskipun kemudiannya anda harus mengemaskan kembali rumah yang berselarak, lantai yang basah atau lipstick anda yang patah! Relakan sahaja semua itu demi perkembangan minda anak anda. Ingat, mereka cuma anak kecil yang tidak mengerti apa-apa. Kerja seorang kanak-kanak adalah bermain dan biarkan mereka menjalankan ‘tugas’ mereka dengan sempurna.

Jangan sesekali gunakan kekerasan kerana anda sedang mendidik anak anda supaya membenci diri anda. Buktikan pada anak anda bahawa anda adalah ibu bapa yang paling sempurna dan insan  yang paling selamat di sisi mereka. Tunjukkan contoh yang baik agar mereka mampu menjadi sempurna seperti anda. Kebengisan hanya akan memburukkan keadaan. Adakah anda rela melihat hati anak kecil anda terluka?

Anak-anak anda mungkin mengalami kecederaan ketika bermain. Ada kemungkinan mereka akan terjatuh dan terluka. Tindakan anda adalah salah jika anda terus memukul dan memarahi mereka.  Tingkatkan tahap kesabaran anda dan yakini mereka bahawa anda mampu melindungi mereka dengan baik. Redakan tangisan mereka dan peluklah mereka dengan erat jika perlu. Rawatlah kecederaan mereka dengan baik. Ada baiknya luka mereka dibasuh terlebih dahulu dengan air bersih kerana dikhuatiri ada kuman yang bakal merebak. Kemudian, ambil peti  kecemasan anda dan pilihlah minyak yang tidak panas dan tidak memedihkan kulit mereka. Percayalah, hati kecil mereka tetap takut untuk menerima olesan minyak di tempat luka mereka. Cuba alih perhatian mereka. Ceritakan tentang pengalaman anda sewaktu kecil ketika anda  mengalami nasib yang sama seperti mereka. Ceritakan bagaimana ibu atau penjaga anda merawat anda ketika itu. Anak anda pasti terleka ketika mendengar cerita anda. Mereka hampir terlupa bahawa tangan anda sedang ligat memainkan peranan merawat luka mereka. Sudahi  cerita anda apabila rawatan telah selesai. Nah, mereka tidak sempat mengaduh kesakitan!

Sebagai ibu bapa, anda seharusnya bebangga jika memiliki anak-anak yang aktif. Percayalah, anak-anak aktif ini adalah anak-anak yang berminda cergas dan mereka sebenarnya adalah anak yang bijak. Sesekali ikutlah rentak mereka, bermain bersama mereka dan tanamlah cita-cita berserta semangat yang tinggi di dalam jiwa mereka. Mungkin anda tidak tahu, anak-anak aktif adalah kanak-kanak yang paling layak menyandang jawatan ketua di sekolahnya. Mereka memiliki aura sebagai pemimpin dan mampu mempengaruhi rakan-rakan mereka. Didiklah mereka dengan baik agar mereka mampu membawa pengaruh yang baik di kalangan rakan seusia mereka.
Hati kanak-kanak sama juga seperti hati kita. Andai hati kita pernah merasa sakit, tentu hati mereka juga pernah mengalaminya. Bezanya, mereka masih mentah untuk mengerti mengapakah hati mereka perlu menerima sesuatu yang  menyakitkan. Siapakah yang mampu meredakan kesakitan hati mereka? Cuma kita, penjaga mereka, ibu bapa mereka dan keluarga terdekat mereka. Mereka cuma tahu apa yang mereka miliki hanyalah keluarga mereka, tempat mereka berteduh. Jadi, peliharalah hati kanak-kanak dengan sebaiknya, semaikan kasih dan sayang  agar mereka sentiasa akrab dengan anda biarpun mereka dewasa kelak. Percayalah, mereka akan mengenangi kasih sayang anda dan mereka mungkin akan menjadi lebih baik dari anda. Mereka adalah kebanggaan anda dan anda adalah idola terbaik mereka! Sayangilah anak-anak anda kerana mereka adalah amanah kita.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan