Ahad, 1 Mei 2011

Selamat Hari Pekerja

Selamat Hari Pekerja buat semua pekerja di Malaysia!

Untuk pengetahuan anda, Hari Pekerja mula diiktiraf oleh Kerajaan pada tahun 1973 apabila diisytiharkan sebagai hari kelepasan am (cuti umum) pada tarikh 1 Mei setiap tahun. Kerajaan telah mula menganjurkan Perhimpunan Hari Pekerja mulai tahun 1991.

Tetamu kehormat di perhimpunan ini ialah YAB Perdana Menteri Malaysia.YAB Perdana Menteri bertanggungjawab menyampaikan Amanat Khas dan Anugerah Hari Pekerja di hadapan pekerja yang terdiri daripada pekerja sektor awam dan swasta. Upacara perhimpunan ini disiarkan secara langsung di televisyen dan radio serta diberi liputan yang meluas oleh media cetak.

Pada tahun ini,sambutan hari pekerja diadakan pada 7 Mei 2011 bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil. Sambutan seawal jam 7.30 pagi ini akan dihadiri oleh tetamu kehormat YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin Bin Mohd Yassin berserta seramai 12,000 warga pekerja dan majikan. Sambutan ini dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Akan tetapi sebenarnya hari ini disebut juga sebagai Hari Pekerja Antarabangsa, yang mana ia merupakan peringatan tentang kejayaan ekonomi dan sosial bagi pergerakan pekerja. Tarikh 1 Mei digunakan kerana pada tahun 1884, Persekutuan Persatuan Pekerja dan Buruh, yang diinspirasikan oleh kejayaan Parti Labour 1872 di Kanada, meminta lapan jam waktu bekerja di Amerika Syarikat, dikuatkuasakan pada 1 Mei, 1886. Ini mengakibatkan mogok umum dan Mogok Haymarket pada tahun 1886, tetapi beransur-ansur juga di pejabat selama lapan-jam waktu bekerja.

Tidak kira apa jua pekerjaan kita, hari pekerja adalah untuk kita semua. Setiap kerja itu adalah mulia kerana kita sama-sama mencari rezeki yang halal. Setiap pekerjaan yang kita lakukan selayaknya dihargai asalkan ianya berserta niat yang ikhlas di dalam menjalankan tugas dan amanah. Berbanggalah dengan kerjaya anda kerana di situlah terletaknya punca rezeki.

Akhir kata, bersama-samalah kita meningkatkan mutu dan produktiviti kerja walau di dalam bidang kerjaya apa pun yang kita ceburi. Salam 1 Malaysia.

Go to fullsize image


 








Tiada ulasan:

Catat Ulasan