Ahad, 7 Julai 2013

Sudi Tak Jadi Isteri Saya?

Assalamualaikum...

Kisah ini berlaku lebih kurang dalam tiga atau empat tahun yang lalu. Lucu pun ada. Sewaktu itu, aku merupakan cashier di sebuah kedai menjual keperluan harian di sebuah universiti. Tetapi kami perlu juga melayan pelanggan yang jarang-jarang berkunjung ke kedai kerana mereka tidak biasa dengan susun atur kedai dan memerlukan bantuan untuk mencari barangan yang diinginkan.

Nak dijadikan cerita, suatu hari ada seorang lelaki berusia yang memang layak dipanggil pakcik berkunjung ke kedai tersebut. Tubuhnya sederhana gempal dan lebih rendah daripada aku. Entah apa yang 'pakcik' tu cari, aku sendiri pun tak pasti. Ke hulu, ke hilir. Tapi mulutnya bertanya macam-macam soalan kepada aku.

Sampailah ke soalan yang agak menyentuh hal peribadi, bunyinya begini,
"Cik ni dah kahwin ke belum?"
"Belum." jawabku bersahaja.
"Sudi tak kalau cik jadi isteri saya?" Tanya 'pakcik' tadi. Isteri pakcik??? Alahai pakcik...
"Sudi tak?" Kali ini 'pakcik' itu menoleh dan memandang wajahku. Alamak...biar betul pakcik??
"Saya dah ada pilihan lain." Jawabku dalam tegas bercampur kaget. Mencari makna tersirat di sebalik ungkapan 'pakcik' tadi. Mungkinkah 'pakcik' sedang menduga atau sekadar gurauan.
"Bagus kalau berterus terang macam ni." Tutur 'pakcik' tadi. Adakah 'pakcik' sedang memuji atau ada tafsiran lain?

Selepas membayar harga barang-barang yang dipilih, 'pakcik' tadi berlalu pergi. Memandang wajah teman sekerja, aku hanya tertawa gelihati. Tetapi teman sekerjaku tak putus-putus mengutuk 'pakcik' tadi.
"Tak padan tua, ada hati nak kahwin anak dara!" Kutuk teman sekerjaku.

Apa sebenarnya niat 'pakcik' tadi, aku tidak tahu. Tapi, mungkin 'pakcik' sekadar menduga hati anak-anak muda seperti kami. 'Pakcik' kan yang lebih dulu makan garam...



~Mieya Kasih 2013~

Tiada ulasan:

Catat Ulasan