Sabtu, 1 Disember 2012

10 Helah Mendidik Anak Kecil Menggosok Gigi

 
 
Anak-anak paling mudah dilentur sewaktu usianya masih bayi. Apa yang diamalkan setiap hari pada usia mentah ini akan menjadi tabiat seiring dengan perkembangan usianya. Pasti tidak semua kanak-kanak gemar menggosok gigi. Berikut merupakan 'helah' yang boleh dipraktikkan terhadap anak-anak kita.
 

Helah 1
Sejak usia bayi, biasakan mengelap batas gusinya menggunakan tuala basah dengan lembut selepas menyusu. Ia bertujuan mengelakkan sisa susu tertinggal di dalam mulut yang kemudian akan berlendir dan mengembang.
 
 

Helah 2
Pada usia mereka mencecah tiga tahun, perkenalkan mereka dengan berus dan ubat gigi kanak-kanak. Tetapi pastikan ibu atau penjaga yang menggosok gigi kanak-kanak bagi memastikan gigi kanak-kanak digosok dengan baik dan dapat mengelakkan kanak-kanak memakan ubat gigi.
 

Helah 3
Kebanyakan ibu bapa mengambil posisi di hadapan kanak-kanak ketika menggosok gigi mereka. Teknik ini sebenarnya salah. Untuk lebih berkesan, ibu bapa harus berada di belakang kanak-kanak, sambil memegang tangan anak dan menunjukkan cara membersihkan lidah dan memberus gigi yang tepat.



Helah 4
Didik anak-anak menggosok gigi mengikut jadual setiap pagi dan malam. Pastikan ibu bapa juga menjaga gigi dan sebaik-baiknya lakukan rutin ini bersama anak-anak.

Helah 5
Pilih berus gigi dan ubat gigi yang sesuai mengikut peringkat usia dan pastinya berus gigi berwarna-warni menyemarakkan semangat mereka untuk memberus gigi.


Helah 6
Bawa anak-anak berjumpa doktor gigi seawal usia tiga tahun. Jangan tunggu sehingga giginya sakit kerana ia akan meninggalkan 'pengalaman ngeri' apabila berhadapan doktor gigi. Lawatan pertama tanpa kerosakan akan membuatkan dia suka dan menyenangi doktor gigi.
 
Helah 7
Jika kanak-kanak menikmati makanan manis, ajar mereka menggosok gigi selepas makan atau minum.
 
Helah 8
Ajar anak anda memilih snek yang kurang gula. Makanan yang manis elok diberi selepas waktu makan dan bukan antara waktu makan.
 
Helah 9
Terdapat pelbagai punca yang menyebabkan masalah ggi. Antaranya adalah pembrsihan gigi yang tidak betul sehingga menyebabkan kewujudan plak atau lendir selaput gigi yang mengakibatkan gigi cepat rosak. Justeru, pembersihan efektif dan teknik yang betul sangat diperlukan.
 
Helah 10
Kerosakan gigi susu yang menyeluruh dan reput disebabkan tiada tabiat menggosok gigi sejak kecil. ini ditambah pula dengan tabiat memakan makanan yang terlalu banyak kandungan gula tanpa pembersihan gigi selepas makan.
 
 
Gigi yang cantik dapat membentuk senyuman yang indah. Didiklah anak-anak menjaga gigi dengan baik kerana hanya senyuman yang kita inginkan menghiasi wajah comel mereka. Sekian.
 
 
Sumber:
 
Majalah Nur.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan