Sabtu, 16 Jun 2012

Ramadhan Semakin Dekat

Assalamualaikum w.b.t....


Bersyukur ke hadrat Illahi kerana memberikan aku kesempatan untuk menulis lagi di ruangan ini, di blog yang aku sayangi ini. Ketika ini, aku berada di dalam kesihatan yang kurang baik. Aku dijangkiti selesema dan batuk-batuk kecil. Moga-moga, kesihatanku akan kembali pulih seperti sediakala secepat mungkin.
Sebagai pelajar, aku sedang berada di musim exam. Alhamdulillah, segala-galanya berjalan dengan baik. Cuma, masih ada satu paper yang bakal kutempuhi. Dalam leteran sang ibu semalam, emak sempat menyelitkan mesej kepadaku, agar aku menyambung pengajianku ke peringkat master kelak. Yang itu...akan aku fikirkan kemudian.

Ramadhan...di saat ini aku sedang merindui bulan yang indah ini. Bulan ramadhan yang dirahmati. Aku berharap, semoga Allah mengurniakan aku kesihatan yang baik agar dapat aku menikmati kesyahduan di bulan ramadhan ini dengan sempurna. Ramadhan yang lalu, aku demam campak. Jadi aku cuma berkurung di dalam rumah. Daifnya aku, kerana bersedih dengan ujianNya pada ketika itu. Ampunkan aku Ya Allah. Namun aku bersyukur kepadaMu kerana telah menyembuhkan aku kembali. Malah, kehidupanku lebih bermakna selepas itu.

Mengenang detik ramadhan yang bakal menjelma tidak lama lagi, menggamit aku untuk menyelak memori silam. Di saat zaman kanak-kanakku yang berwarna-warni. Ketika itu, kami adik beradik baru nak belajar berpuasa. Janji emak, siapa yang puasa penuh akan dapat duit raya lebih. Rm10. Bagi kami, 'duit merah' itu amat besar nilainya. Dan kami akan menjadi 'orang kaya' di pagi Syawal.
Kadangkala kami terlupa erti lapar. Kami tetap bermain seperti biasa di luar rumah. Saling berkejaran atau berlumba basikal. Selepas penat bermain, kami akan menjengah emak di dapur. Alangkah terujanya kami ketika itu bila melihatkan emak telah siap menyediakan hidangan berbuka puasa. Emak akan masak kuih melaka, kuih lompang, karipap, agar-agar dan banyak lagi. Air sirap emak yang kadang-kadang berwarna hijau tambah membangkitkan selera kami. Bila ayah pulang dari bekerja, selalu juga ayah belikan murtabak atau cendol untuk kami. Murtabak...ya, inilah kegemaran aku. Sampai ke hari ini, pasti murtabak yang aku cari dulu bila menjelangnya ramadhan.

Tahun ini, aku akan menikmati ramadhan di samping keluarga tercinta. Tentunya ramadhan kali ini lebih meriah memandangkan keluargaku mempunyai seorang ahli baru. Dhia Qisya Salsabila, anak saudaraku yang berusia enam bulan pastinya mencuit hati kami dengan kaletah manjanya setiap hari. Mohd Qayyum Adib, anak saudaraku yang berusia lima tahun, tetap manja walaupun dah besar dan dah jadi abang. Kuih muih untuk berbuka, kena sorokkan dulu sebab nanti si budak Qayyum akan makan sampai habis sebelum tibanya waktu berbuka. Qayyum dah besar, nampaknya Qayyum pun dah boleh mula belajar berpuasa.

Nampaknya ini sahaja coretanku buat kali ini. Semestinya aku tidak sabar untuk menyambut ramadhan, bulan yang mulia dan indah itu. Aku berharap, semoga ramadhan kali ini akan dapat mengeratkan lagi kebahagiaan dan kemesraan keluargaku. Begitu juga dengan anda semua di luar sana, semoga sentiasa beroleh rahmat dan kebagaiaan hendaknya. Sekian.
Salam rindu ramadhan.

~Mieya Kasih~


Tiada ulasan:

Catat Ulasan